Oleh : Aimi Sani / Foto : Mohd. Zul-Izzi Haji Duraman
BERAKAS, Jumaat, 12 Jun. - Seramai 13 pegawai selaku rombongan awal 'Advance Party' Pejabat Urusan Jemaah Haji (Pentadbiran dan Perubatan) bagi Musim Haji 1447 Hijrah / 2026 Masihi yang terdiri daripada lima Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran dan lapan Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Perubatan telah selamat kembali ke tanah air daripada Arab Saudi pada pukul 4.46 petang tadi setelah selesai melaksanakan tugas di Tanah Suci.
Rombongan yang diketuai oleh Pemangku Penolong Pengarah Urusan Haji, Pengiran Haji Haslin bin Pengiran Haji Ali selaku Ketua Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam Bagi Musim Haji 1447H / 2026M telah bertolak ke Kerajaan Arab Saudi pada 20 April 2026 yang lalu bagi melaksanakan pelbagai persiapan dan pengurusan berkaitan kebajikan, penginapan, pengangkutan, kesihatan serta bimbingan manasik umrah dan haji serta bagi memastikan kelancaran urusan jemaah haji Negara Brunei Darussalam (NBD) sepanjang musim haji.
Hadir bagi mengalu-alukan kepulangan rombongan tersebut di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan, Dr. Hajah Rafidah binti Haji Gharif.
Turut hadir, Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), KHEU Awang Haji Shamshol bin Haji Omar; Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Pengurusan), Kementerian Kesihatan, Pengiran Mohammad Khiruddin bin Pengiran Haji Yusoff; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan), KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim dan Pengarah Urusan Haji, KHEU, Awang Haji Abdullah bin Haji Mohamad serta Ahli-ahli Jemaah Penasihat Haji dan para Pegawai Kanan KHEU.
Doa selamat dibacakan oleh Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da'wah Islamiah, Awang Haji Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi, salah seorang Pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Pentadbiran.